Bismillahirrahmanirrahiim
Hari ini saya berkesempatan untuk menerangkan semua kod MNP yang ada semasa proses Port in atau Port Out dan bagaimanakah cara untuk penyeleisaiannya. Jangan risau, semua kod penolakan yang ada adalah bertujuan untuk melindungi nombor anda daripada dicuri ataupun diambil oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Senarai Kod MNP
Tanpa melengahkan masa dibawah adalah senarai kod MNP yang ada dan kaedah bagamana untuk menyelesaikannya. Sila rujuk maklumat dibawah :
KOD SP 10 : Nombor IC yang salah
Apa yang perlu anda lakukan adalah semak semula adakah nombor IC di telco lama memang terdapat kesalahan atau tidak. Jika ya, anda harus ikuti prosedur mereka tentang bagaimana untuk lakukan pembetulan nombor IC. Biasanya mereka akan menyuruh anda ke service center atau hantarkan gambar IC depan dan belakang.
KOD SP 11 : Salah Jenis IC
Ada telco yang mempunyai ruangan jenis IC, iaitu IC lama atau IC baru. Anda harus semak dengan telco lama untuk lakukan pembetulan jenis IC. Sama sahaja seperti nombor IC yang salah, anda harus datang ke service center ataupun hantarkan gambar IC depan dan belakang.
KOD SP 12 : Terdapat kesilapan pada ID Askar atau Polis
Askar dan polis mempunyai nombor badan tersendiri. Boleh jadi ia mempunyai kesalahan sama ada pada nombor tentera/polis itu sendiri atau pelanggan menggunakan IC Awam di telco baru. Oleh itu, pelanggan harus hubungi telco lama untuk membetulkan nombor tentera atau menukar kepada IC awam asalkan info di kedua-dua telco itu sama.
KOD SP 13: Passport Tamat Tempoh
Masalah ini sering berlaku kepada warga asing. Setiap passport mempunyai expiry date, biasanya selepas tempoh 5 tahun dari tarikh penerimaan. Oleh itu, pelanggan harus dapatkan passport terkini dan hubungi telco lama untuk kemaskini semula passport mereka.
KOD SP 30 : Nombor Pendaftaran Syarikat Tidak Sama
Nombor BRN syarikat akan bertukar jika tidak silap setiap 2 tahun. Oleh itu, terdapat kemungkinan syarikat menggunakan nombor BRN yang baru tetapi di telco lama masih menggunakan BRN yang lama. Oleh itu, sila dapatkan sijil SSM yang terbaru dan hubungi pihak telco lama untuk lakukan pindaan.
KOD SP31: Nombor Akaun Salah
Agak jarang sebenarnya apabila keluar kod ini kerana kebanyakan sistem akan terus detect nombor akaun apabila memasukkan nombor IC. Namun perkara ini tidak mustahil terjadi bagi syarikat atau individu yang mempunyai nombor yang banyak dalam satu masa. Mungkin ada satu nombor yang mempunyai dua akaun duplicate yang menyebabkan isu ini terjadi. Sila hubungi telco lama untuk proses selanjutnya.
KOD SP51: Nombor masih ada kontrak
Isu ini selalu berlaku yang mana pelanggan ada mengambil kontrak telefon percuma, Golden Number ataupun terdapat sesetengah telco ada yang menetapkan pra syarat semasa pendaftaran seperti perlu guna dalam tempoh 3 bulan barulah boleh port out dan sebagainya. Untuk isu ini, anda ada pilihan sama ada untuk tunggu sehingga kontrak habis atau bayar penalti untuk tamatkan kontrak lebih awal.
KOD SP52: Tunggakan bayaran pada akaun.
Untuk postpaid perkara ini agak kerap berlaku. Oleh itu, sila bayar hutang-hutang terdahulu beserta advance payment untuk satu bulan ke hadapan. Biasanya untuk bulan yang anda port in, telco akan lakukan kiraan pro rata dan baki akan refund semula. Manakala prepaid jarang berlaku tetapi ada yang mana mereka yang masih tidak membayar kredit SOS mereka.
KOD SP54 : Pemohon bukan pemilik yang salah
Isu ini berlaku apabila pemohon nama A tetapi di dalam sistem nama B. Benda ini kerap berlaku apabila anda daftar guna nama orang lain tetapi lupa siapa sebenarnya pemilik nombor tersebut. Oleh itu anda harus lakukan pemindahan hak milik di telco lama sebelum hantarkan semula permohonan port in.
KOD SP 55 : Nombor Tidak Aktif
Perkara ini berlaku disebabkan nombor prepaid anda dalam mod pasif ataupun nombor postpaid anda kena suspend kerana tidak bayar bil. Oleh itu sila bayar bil atau lakukan top up minima untuk aktifkan nombor tersebut dan hantarkan permohonan semula.
KOD SP56 : Anda mempunyai Supplementary Line
Masalah ini berlaku apabila anda mengambil nombor telefon secara bundle dibawah satu nama seperti pelan family. Jika kod ini muncul anda mempunyai dua pilihan sama ada port out keseluruhan nombor yang ada ataupun pisahkan dahulu nombor yang anda ingin port in. Sila rujuk dengan telco lama untuk proses tersebut.
KOD SP57 : Anda mempunyai Principal Line
Sama seperti kod SP56, tetapi terbalik sahaja. Penyelesaian sama sahaja.
KOD SP58 : Sebahagian nombor yang anda ingin Port In bukan dibawah nama yang sama.
Isu ini kerap berlaku pada syarikat atau mereka yang mempunyai principal/supplementary line. Contohnya syarikat ingin port out 10 nombor tetapi 2 dari 10 nombor tersebut didaftarkan dibawah nama individu, bukan syarikat. Oleh itu, pelanggan harus lakukan proses pertukaran hak milik dahulu atau port out nombor yang dibawah milik mereka sahaja.
KOD SP59 : Pelanggan mempunyai lebihan kredit yang melebihi had
Isu ini kerap berlaku kepada pengguna prepaid yang mana terdapat lebihan kredit melampau di dalam nombor mereka. Seperti di Tunetalk, had maksima kredit adalah sebanyak RM 1,000 untuk satu nombor. Jika anda direject pada kod ini, ia bertujuan untuk memastikan sama ada anda betul-betul ingin Port Out kerana baki kredit akan burn jika anda port out dan ini akan merugikan anda.
KOD SP61 : Nombor telah dihentikan perkhidmatan secara sementara
Isu ini berlaku akibat pelanggan tidak membayar bil atau pelanggan menghubungi telco lama untuk lakukan pembatalan talian sementara atas isu tertentu seperti pergi keluar negara. Oleh itu, pelanggan harus hubungi telco lama untuk aktifkan semula nombor atau bayar bil yang tertunggak.
KOD SP71 : Tidak membalas SMS pengesahan
Isu ini berlaku apabila pihak telco lama tidak menerima SMS pengesahan balas dari pelanggan. Setiap SMS pengesahan akan mempunyai tempoh dan format yang diberikan. Jika anda lewat jawab, tidak jawab, atau balas guna format yang salah, kod ini akan muncul. Oleh itu, sila gunakan format yang diberikan dan balas dalam waktu yang ditetapkan.
KOD SP72 : Pelanggan menjawab NO dalam SMS pengesahan
Isu ini adalah pilihan pelanggan sendiri yang mana pelanggan berubah hati untuk kekal di telco lama ataupun pelanggan menerima tawaran dari telco lama. Oleh itu proses MNP telah dibatalkan.
Kesimpulan
Secara amnya, jika anda mempunyai isu dengan proses MNP, sila rujuk dahulu dengan telco lama, bukan telco baru. Telco baru hanya boleh hantarkan permohonan sahaja, selebihnya adalah pada telco lama. Diharap perkongsian ini dapat membantu anda untuk menjayakan proses Port In anda ke telco baru. Terima kasih. Alhamdulillah


