Bismillahirrahmanirrahim
Hari ini saya berkesempatan untuk menulis sedikit ulasan tentang Padu 30 Tunetalk Prepaid. Pakej Perpaduan ini adalah inisiatif kerajaan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapat capaian internet. Sekurang-kurangnya, ia dapat meringankan beban bagi mereka yang tidak mampu untuk melanggan data internet yang mahal.
Ciri-Ciri Pelan Padu 30 Tunetalk Prepaid
| Harga | RM 30 |
| Tempoh | 6 Bulan |
| Data Kuota | 30 GB |
| Kelajuan | 3 Mbps |
| Hotspot | Kongsi dengan data utama |
| Insurans | RM 50,000 untuk Kemalangan Peribadi |
| Had Langganan | 5 Talian Untuk Satu Keluarga |
| Kelayakan | Belia (12-30 Tahun) B40 (Penerima Bantuan Tunai Rakyat) OKU (Memiliki kad OKU) Warga Emas (60 Tahun keatas) Veteran |
Ulasan Tentang Padu 30 Tunetalk Prepaid
Secara amnya, jika saya nak bahaskan tentang ciri-ciri yang diberikan, ianya sangat tidak sesuai untuk pengguna tegar internet. Tapi, matlamat penubuhan pelan Padu ini bukan untuk memberikan kesenangan melimpah ruah kepada pengguna untuk berseronok di internet, tetapi sebagai satu pintu untuk golongan kurang berkemampuan akses kepada internet memandangkan banyak urusan-urusan seharaian memerlukan sambungan internet seperti QR kod dan akses kepada aplikasi kerajaan.
Harga yang ditawarkan memang murah gila iaitu sebanyak RM 30 sahaja. Jika dibahagikan kepada 6 bulan, anda hanya bayar sebanyak RM 5 sahaja. Mana ada plan yang boleh berikan RM 5 sahaja sebulan. Tak balik modal telco nak rolling kalau buat pelan murah sangat. Oleh itu, memang ia sangat berbaloi kepada orang yang susah.
Seterusnya kuota yang diberikan adalah sebanyak 30 GB dan yang bestnya boleh kongsi dengan data Hotspot. Jadi, penggunaan data ini adalah universal. Jika dibahagi enam, setiap bulan boleh lah di hadkan kepada 5GB. Cukup kah 5GB ini? Bergantung kepada penggunaan. Namun jika penggunaan terhad kepada Whatsapp, hanya nak buka aplikasi kerajaan, nak check akaun bank, ia sudah mencukupi.
Kelajuan yang ditawarkan pula adalah sehingga 3 Mbps. Kelajuan ini adalah kelajuan yang mencukupi untuk melakukan aktiviti internet yang sederhana seperti web browsing, buka email ataupun buka aplikasi. Kelajuan dihadkan kepada 3 Mbps sahaja supaya para pengguna tidak terlajak menggunakan data kuota yang diberikan iaitu hanya 30 GB untuk 6 bulan.
Tapi, yang menariknya, insurans kemalangan peribadi yang ditawarkan oleh pihak Tunetalk akan cover sehingga 6 bulan iaitu dalam tempoh aktif. Anda tidak perlu lagi bersusah payah untuk melanggan insurans nyawa kerana dengan RM 30 sahaja, sekiranya anda meninggal dunia akibat kemalangan, anak isteri anda boleh meneruskan kehidupan dengan pampasan sebanyak RM 50,000.
Lain-lain perkara teknikaliti yang anda harus tahu
- Pelan ini tidak auto renew. Jika sudah habis, anda boleh langgan semula
- Pelan ini boleh dilanggan sama ada melalui SMS ataupun aplikasi Tunetalk. Taip PADU30 dan hantar SMS ke 2222.
- Jika anda beli pelan lain, pelan PADU 30 akan terbatal secara automatik.
- Pelan ini tersedia untuk tarif Epik dan juga Jimat
Kesimpulan
Saya sudah memberikan ulasan tentang Padu 30 Tunetalk Prepaid. Bagi saya ia sangat-sangat membantu bagi orang yang susah dan juga orang yang jarang menggunakan internet. Hanya sekadar ingin gunakan bagi keperluan seharian sahaja. Oleh itu pelan ini TIDAK SESUAI untuk kaki internet 24 jam. Ia lebih sesuai untuk orang yang betul-betul susah dan juga warga Emas.
Alhamdulillah


